Saturday 2 July 2011

Mimpi Si Jebat ~ oleh Awang Belanga ~

Malam tadi aku meracau-racau, tatkala dibelenggu kisah paparan tv, laporan berita duniawi.

Sana-sini sibuk aku dengar al-kisah penguasa terkam aktivis, stesen tv marah artis, menteri dabik dada, pegawai undang-undang seringai gigi, wakil rakyat ditangkap dan digari. Rupa-rupanya kawan lama aku Tuk Jebat yang dok panggil aku tadi.

Semua pasal cerita baju warna bunga kekwa, yang kita dah tak boleh pakai lagi. Ada atau tak perkataan keramat tu, pada baju warna bunga kekwa, dah tak jadi hal, asal nampak sama kelibat, dia angkut bawa pergi. Naik Black Maria beb.

Dengar cerita, selain tulisan rumi, kalau kalam jawi pun kena. Tapi kalau dalam tulisan Cina dan Tamil, boleh lagi kut? Mungkin ada bisnes untuk jual baju tu tapi dalam bahasa Siam ke, Vietnam ke, Omputih ke.
Apapun cerita, aku tak tahu, yang pasti pak menteri dari parti alif mim nun wau, parti sarkis bak kata P Ramlee, dah mula cakap. Kata dia takut kalah pilihanraya, sebab dalam politik tak ada nombor dua. Kalau kalah rugi katanya.

Mungkin sebab itulah dia kata, dia bersedia berkecai badan, melayang jiwa, nak pertahan Putrajaya. Tapi aku bingung, nak pertahan dari apa? Putrajaya itu anugerah rakyat melalui undi, untuk parti menang banyak kerusi, bukan untuk parti mana-mana pun berperang nak pertahan atau serang.

Lainlah kalau kita tengah lawan penjajah ke, atau makhluk asing yang turun dari langit nak takluk bumi. Macam cerita HBO baru Falling Skies tu. Tapi kalau ikut kata pak menteri juga, kita ada 'ejen asing' dan ada 'komunis' yang nak lawan raja-raja. Pelik betul.

Hak rakyat
Hmm cerpen rekaan atau cerita tahyul mana diaorang tengok, dari mana bukti semua tu, aku tak pasti, mungkin sebab aku tak tengok RTM, rangkaian-rangkaian Media Prima atau baca Utusan dan akhbar aluran perdana kut. Banyak cerita-cerita dongeng dalam tabloid-tabloid dan rangkaian B-Movie negara kita semua tu.

Apa-apa sajalah, serigai dan dongeng pak menteri, tapi mungkin dia nak jaga rumah dia yang dia ubahsuai RM65 juta dan guna RM48 juta duit rakyat untuk selenggara? Aku lagi hairan, bukankah itu semua duit rakyat? Bukankah itu rumah yang kita bagi dia pinjam sekejap, dalam waktu kita bagi dia jadi orang gaji kita?

Ya lah pemimpin ni kita yang bayar gaji. Dia kena jaga hak kita, kena jaga hak anak-anak kita dan pastikan hidup kita aman dan senang. Tapi lain pulak idea dia, dia kata hak kita untuk himpun dengan aman itu haram, dia gadai masa depan anak kita kepada orang nak bina kilang bumi nadir dan dia tarik subsidi kita tapi jaga nasib orang bisnes pula.

Yang aku tahu, banyak duit rakyat habis diceduk mamat-mamat tembolok besar ini. Yang aku tahu banyak harta rakyat dirompak pemimpin tak amanah. Kenapa pak menteri tadi macam selamba dek aje tengok semua kawan-kawan dia jarah negara yang kononnya dia nak jaga?

Tak taulah mungkin kebetulan aje kut, dia kenal kebanyakkan perasuah dan orang yang dikatakan kroni? Aku makin pening kepala.

Balik kepada Tuk Jebat tadi, dia ni dari salur galur moyang aku, sama bangsa tapi lain mak dan lain bapak. Dia selalu datang jumpa aku rintih nasib anak cucu. Tapi kali ni dia tak cakap banyak, cuma ajak aku pegi Bukit Cahaya kat Shah Alam.

Dia kata kat sini dulu terjadinya dentuman sebab istilah kapal yang boleh tenggelam. Tapi dia kata lagi, dia nak aku ingat yang macam-macam boleh jadi bila orang hilang perhitungan. Tapi dia kata juga apa pun nasib rakyat, kalau pemimpin jarah, itu dah langgar kudrat.

Akhir sekali dia suruh aku bangun, bangkit dan lihat, macam nyalaan api seperti dalam sajak Pak Samad. Dia suruh aku pergi sungai pagi-pagi basuh baju warna kekwa aku tu sampai bersih. Dan kalau boleh dia nak aku pakai, ramai-ramai turun dengan kawa-kawan, dia kata dia akan senyum bila nampak tak sia-sia, dia ada anak cucu pahlawan.

MalaysiaKini
2 julai 2011

No comments:

Post a Comment