Saturday 30 July 2011

Aleesha Farhana: Al Fatihah

Lelaki mohon tukar nama Aleesha Farhana meninggal dunia.

30/07/2011

KUALA TERENGGANU: Mohd Ashraf Abd Aziz, 26, yang gagal dalam permohonan menukar namanya kepada Aleesha Farhana meninggal dunia jam 4.50 pagi tadi selepas dimasukkan ke wad ICU, Hospital Sultanah Nur Zahirah, di sini, awal pagi semalam kerana mengalami tekanan darah rendah akibat kemurungan apabila permohonannya ditolak Mahkamah Tinggi Kuala Terengganu.


Memang telah tertulis dia harus pergi hari ini. Memang telah tertulis pagi ini dia menghirup udara terakhir ke dalam dadanya. Memang telah tertulis malaikat maut menjemputnya hari ini. Memang telah tertulis semua itu  dan aku akur.

Tetapi aku tertanya sendiri…ketika dia sedang bergelut memerangi tekanan perasaan…ketika dia bergelut mencari kekuatan diri…ketika dia bergelut untuk tidak jadi gila…adakah kita yang memberi dorongan atau adakah kita yang menambah tekanan? Adakah kita yang menghulur tangan kemaafan dan membantu dia mencari jalan pulang atau adakah tangan kita yang berjari runcing ini menunding-nunding lagi kesilapannya? Adakah kita bersama memimpin dan menemani dia yang di dalam kegelapan atau adakah kita yang meninggalkan dia di dalam kelam kesengsaraan?

Memang telah tertulis ajalnya sampai pagi ini. Dan aku yang masih bernafas ini…berfikir sendirian…ketika nyawa di kerongkongannya pagi tadi…di manakah kita berdiri? Adakah lagi di hati kita sifat pengasih dan kasih sayang sesama insan atau kita tidak ambil peduli kerana hati kita telah mati lama sebelum Aleesha Farhana dipanggil mengadap illahi.


Semoga roh mu tenang di sana. Amin. Al Fatihah
~kalaulah~

 

1 comment:

  1. Kematian hanyalah tidur panjang, maka mimpi indahlah engkau Aleesha Farhana..

    ReplyDelete